Monday, May 26, 2008

KEINDAHAN SABAR

Jiwa orang Mukmin.. sebarkanlah di dalamnya erti sabar. Fahami dan hayati. Memang ALlah telah menjadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran.
Sabar itulah kekuatan, padanya ada kemuliaan..
Tahanlah hati sebentar, walaupun terkadang ia mendesah-desah seolah-olah ingin pecah. Untuk menggapai kejayaan perlu sabar. Untuk mendapatkan kebahagiaan perlu kepada sabar. Untuk mendapat kesenangan perlu kepada sabar.
Orang beriman yang bertani diambil pengajaran darinya - setiap hari ia menyangkul tanah, digembur, di tanam tanaman, dibajai, disirami dengan air. Selalulah ia berharap kepada ALlah agar tanamannya gemuk. Semoga di hari yang mendatang akan dituai hasilnya buat makan sehari-hari.
Dia tidak lupa mengerjakan kewajipan yang disuruh ALlah, malah ia gemar pula bersedekah pada orang yang susah walaupun dia sendiri sudah sedia sukar hidupnya.Lalu ALlah ingin menguji kekuatan iman - diberikan hujan dari langit hingga habis rezeki si petani yang selama ini ditanam, dikerah tenaga dan air peluhnya. Keesokan harinya petani yang beriman itu terkejut melihat tanamannya telah habis musnah. Jika tiada imannya pada hari itu, hendak sahaja ia menjerit, memaki hamun takdir ALlah. Mungkin sahaja hilang akalnya kerna memikirkan penah lelahnya selama ini habis percuma begitu sahaja.
Tetapi kerana iman yang masih melekat di hatinya - diturut sahaja perkataan sabar kerana ALlah. Petani yang beriman itu tersenyum - Ya ALlah, harini Engkau berikanku ujian, Aku bersyukur ia hanya mengenai tanamanku, tetapi ia tidak menggugat imanku. Aku pastinya akan lebih berusaha bersungguh-sungguh kerana walaupun tanamanku digenangi air. Tetapi nampaknya banyak ikan yang berenang sebagai rezeki yang tidak diduga telah Engkau berikan.
"Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan ALlah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh ALlah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera. "(Al Insan:12)

SELAMAT HARI GURU

GURU OH GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat
.Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG1979